PUNCA LEMAH JANTUNG

 

 

Kena sentiasa pantau. – gambar hiasan (Sumber foto: Hello Doktor)

LEMAH JANTUNG (CONGESTIVE HEART FAILURE) atau kegagalan jantung (heart failure) ialah penyakit yang jantung tidak mampu untuk mengepam darah secara normal.

Walaupun jantung berfungsi, namun anggota badan tidak mendapat keperluan oksigen yang mencukupi.

Antara punca Lemah Jantung ialah:

  • Penyakit arteri koronari (Coronary Artery Disease).

Penyakit ini berlaku apabila salur darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh pengumpulan lemak pada dinding arteri yang menyalurkan darah ke otot jantung.

Apabila ini berlaku, pengaliran darah ke otot jantung semakin berkurangan dan jika aliran darah menjadi sangat sedikit atau tahap kritikal, ini menyebabkan jantung gagal berfungsi.

  • Kardiomiopati (cardiomyopathy).

Kardiomiopati ialah jantung yang menjadi besar dan tebal. Ini akan membuatkan jantung sukar untuk mengembang dan mengecut untuk mengepam darah dengan normal.

  • Tekanan darah tinggi, masalah injap jantung, penyakit tiroid (thyroid), sakit buah pinggang dan diabetes.

Penyakit-penyakit ini menyebabkan jantung bekerja dengan kuat dalam jangka masa yang panjang.

  • Aritmia (Arrhythmia) ialah masalah pada degupan jantung yang berdegup tidak tentu. Sama ada berdegup terlalu laju ataupun terlalu perlahan.
Kesakitan yang boleh undang maut. – gambar hiasan (Sumber foto: Viva Bandung).

Degupan jantung yang terlalu lambat dan tidak teratur dikenali sebagai bradikardia (bradycardia).

Manakala, degupan jantung yang terlalu laju dan tidak teratur dikenali sebagai takikardia (tachycardia).

Aritmia berlaku apabila pengaliran elektrik dalam otot jantung menjadi tidak menentu sehingga menyebabkan jantung berdegup pantas (takikardia) atau perlahan (bradikardia).

Tanda-tanda aritmia:

  • Terasa berdebar-debar atau terasa jantung berdegup laju.
  • Walaupun tidak berbahaya, tetapi ia menyusahkan seseorang apabila ia menyebabkan seseorang itu menjadi tidak selesa.
  • Tanda-tanda lain aritmia ialah sakit dada, sesak nafas, pening, berpeluh dan pitam.

 

  • Injap jantung rosak akan menyebabkan aliran darah menjadi tersumbat (injap tidak terbuka) atau bocor (injap tidak tertutup).

Antara punca yang disebabkan oleh kerosakan injap jantung ;

–      Berlakunya penyempitan injap (stenosis) dan kebocoran injap (regurgitation).

–       Injap jantung bermasalah berpunca daripada endokarditis (endocarditis), iaitu penyakit jangkitan kuman pada jantung, dan penyakit reumatic (rheumatic heart disease).

Pengaliran darah daripada satu ruang ke ruang yang lain atau ke salur darah dikawal oleh INJAP        JANTUNG.

Jadi, Injap jantung perlu berfungsi dengan baik untuk memastikan darah mengalir dalam keadaan normal.

  • Kecacatan jantung sejak lahir (congenital heart disease) merupakan kecacatan yang berlaku kepada bayi semasa di dalam kandungan lagi.

Ini kerana jantung bayi tersebut tidak terbentuk dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan komplikasi sejurus bayi dilahirkan atau ia tidak memberikan sebarang komplikasi sehingga bayi tersebut meningkat dewasa.

Kecacatan ini sering kali dikaitkan dengan kecacatan pada bahagian septum dan ini akan menyebabkan aliran darah menjadi tidak normal.

Tanda-tanda bayi mengalami kecacatan sedemikian:

  • Lesu, cepat lemah, berpeluh, pernafasan yang pantas, sesak nafas dan sering mendapat jangkitan kuman pada paru-paru.
  • Tidak berselera makan dan sukar meningkatkan berat badan.

 

  • Strok berlaku apabila salur darah yang menyalurkan darah ke otak menjadi tersumbat atau sering kali disebabkan oleh pembentukan darah beku di dalam salur darah.

Iskemik strok (Ischemic stroke) ialah darah beku yang terbentuk akan menghalang bekalan darah ke otak. Kurangnya bekalan darah ke otak akan menyebabkan sel otak mati.

Hemoragik strok (haemorrhagic stroke) pula bermaksud strok yang berlaku disebabkan oleh salur darah yang membekalkan darah ke otak pecah. Ini menyebabkan sel otak yang terlibat menjadi mati.

Bahagian sel otak yang mati akan menentukan kesan-kesan strok tetapi ia berbeza antara satu individu ke individu yang lain.

Sesetengah sel otak boleh kembali sembuh dan ini akan membenarkan pesakit untuk menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Sekiranya sel otak yang mati terlalu banyak, ini akan menyebabkan kerosakan sel otak yang kekal dan pesakit tidak boleh untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *